Archive

Posts Tagged ‘kempen anti dadah’

Hidup Sihat Tanpa Dadah

October 3, 2010 Leave a comment

Dadah bukan sahaja masalah sekolah, dan bukan juga hanya masalah setempat. Malah penyalahgunaan dadah juga bukanlah masalah sesuatu kaum semata-mata tetapi masalah yang turut melibatkan semua warganegara Malaysia.

Pendidikan Pencegahan Dadah di perkenalkan di semua sekolah di seluruh Malaysia untuk mendidik generasi muda, iaitu pelajar sekolah, supaya mengenali jenis-jenis dadah dan menjauhi diri dari menggunakannya.

Di peringkat sekolah, semua aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan pelajar sememangnya mempunyai matlamat mendidik pelajar supaya mengamalkan kehidupan lebih sihat dan bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri mereka.

Sebagai contoh, aktiviti lasak seperti ‘rock-climbing’. Individu yang terlibat dalam aktiviti ini mestilah mempunyai kekuatan fizikal dan kesungguhan mental yang tinggi. Hanya individu yang menjauhi dadah akan dapat terus menikmati aktiviti lasak sedemikian.

Begitu juga dengan aktiviti sukan seperti bola sepak. Individu yang meminati bola sepak sudah tentu ingin mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk bermain. Jika boleh, mereka juga ingin menjadi pemain bola sepak terkenal di dalam negara mahupun di persada antarabangsa. Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Messi dan Kaka adalah antara nama-nama utama bola sepak yang dikagumi oleh golongan pemain bola sepak, baik kanak-kanak mahupun remaja. Pemain Malaysia seperti Safi Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan beberapa pemain kebangsaan lain tentulah menjadi idola pelajar sekolah juga.

Minat dan keseronokan bermain bola sepak bersama rakan-rakan mahupun bersaing menentang pasukan bola sepak sekolah lain amat diidam-idamkan oleh pemain bola sepak sekolah. Sesiapa yang ingin terus bermain bola sepak sejak kecil hinggalah ke umur menjangkau dewasa akan berazam menjauhi dadah. Malahan jika bola sepak itu menjadi karier atau pekerjaan utama individu tersebut, seharusnyalah ia mengamalkan kehidupan yang sihat. Pemain bola sepak profesional yang mengamalkan gaya hidup sihat akan menjadi contoh tauladan yang baik kepada generasi baru bola sepak negara.

Tindakan mengetahui dan menjauhi dadah adalah sangat penting kepada kita semua,baik guru mahupun pelajar. Oleh itu, pesan kami, jauhi rokok dan jauhi dadah. Majulah sekolah dalam akademik dan sukan tanpa dadah.

—-Tulisan ringkas oleh Cikgu Rithuwan Nasir

Categories: artikel Tags: ,