Kawan anda menagih dadah?

November 5, 2010 Leave a comment

Kawan karib anda bermasalah? Adakah dia atau mereka menagih dadah?

Apakah tindakan yang harus anda lakukan?

Ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan sebagai rakan untuk menyelamatkan dia atau mereka sebelum ketagihan dadah tersebut membawa padah atau kematian. Tetapi anda harus berani melakukannya demi persahabatan yang sebenar.

  1. maklumkan kepada kedua ibu bapa mereka
  2. maklumkan pihak pentadbiran sekolah tentang hal tersebut
  3. maklumkan kepada kaunselor sekolah tentang hal tersebut.

Jika anda memaklumkan kepada pihak sekolah, pemberi maklumat akan dirahsiakan identitinya. Mungkin ada pelajar yang tidak berani memaklumkannya kepada pentadbir sekolah atau kaunselor kerana takut rakannya diambil tindakan disiplin atau sebagainya. Pada pendapat cikgu pula, kesan buruk penagihan itu lebih buruk daripada kesan dikenakan hukuman disiplin.

Memang benar penyalahgunaan dadah adalah kesalahan amat berat mengikut peraturan disiplin yang telah ditetapkan dan boleh dikenakan gantung sekolah atau buang sekolah. Namun begitu, dengan memaklumkan kepada pihak sekolah, anda telah membantu rakan untuk diubati atau diselamatkan dari ketagihan melampau. Hanya melalui maklumat lebih awal kita semua dapat membantu pelajar terbabit dan ibu bapanya demi keselamatan dan kesihatan serta masa depan pelajar tersebut. Ingat, lebih cepat kita mengubatinya, semakin cepat kita menyelamatkannya.

Masih ragu-ragu? Tak apalah. Cikgu memahami keadaan anda. Nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapa. Tapi cuba fikirkan secara bersungguh-sungguh tentang hal ini. Fikirkan buruk baik dan apakah pilihan yang anda ada.

Ada dua pilihan di sini. Pertama, anda kekal menjadi pelindung rakan dan pegang rahsia hingga ke akhir hayat(nya?). Kesannya, anda membiarkan rakan karib anda menjadi penagih tegar sehingga menjadi pelajar tercicir dan gagal dalam pekerjaan selepas sekolah nanti. Kemungkinan besar dia gagal PMR atau SPM adalah amat tinggi.Mana mungkin penagih dadah yang khayal dan mengalami kemerosotan intelek semasa menggunakan dadah akan dapat mengikuti kelas dengan penuh minat dan kesungguhan.

Pilihan kedua pula melibatkan anda menjadi pembongkar rahsia dan bukan rakan yang baik. Malah anda boleh menjadi musuh dan bukan lagi rakan karib yang boleh dipercayai. Namun begitu, kepada ibu bapa dan guru-guru serta rakan lain yang tidak menagih, anda adalah penyelamat atau hero. Ini kerana, dengan bantuan kita semua, rakan anda boleh diubati atau diselamatkan dari ketagihan dadah yang berterusan. Hanya dengan memaklumkan hal sedemikian, anda telah membuka peluang dia untuk kembali ke jalan yang benar, bertaubat, menjalani kehidupan normal dan berkemungkinan besar sempat mengecapi kejayaan dalam akademik dan kerjaya masa hadapan.

Oleh itu, jika anda mengenali rakan di dalam kelas atau sekolah ini  dan mengetahui dia atau mereka terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, jangan takut untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau ibu bapa mereka secara langsung. Anda bukan musuh, tetapi penyelamat. Untuk melaporkan ‘secara rahsia’ hubungi kaunselor sekolah.

SEKOLAH SELAMAT TANDA DADAH.

Hasil tulisan Cikgu Rithuwan, SMK Putatan

5 November 2010

Categories: artikel, smk putatan

Hidup Sihat Tanpa Dadah

October 3, 2010 Leave a comment

Dadah bukan sahaja masalah sekolah, dan bukan juga hanya masalah setempat. Malah penyalahgunaan dadah juga bukanlah masalah sesuatu kaum semata-mata tetapi masalah yang turut melibatkan semua warganegara Malaysia.

Pendidikan Pencegahan Dadah di perkenalkan di semua sekolah di seluruh Malaysia untuk mendidik generasi muda, iaitu pelajar sekolah, supaya mengenali jenis-jenis dadah dan menjauhi diri dari menggunakannya.

Di peringkat sekolah, semua aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan pelajar sememangnya mempunyai matlamat mendidik pelajar supaya mengamalkan kehidupan lebih sihat dan bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri mereka.

Sebagai contoh, aktiviti lasak seperti ‘rock-climbing’. Individu yang terlibat dalam aktiviti ini mestilah mempunyai kekuatan fizikal dan kesungguhan mental yang tinggi. Hanya individu yang menjauhi dadah akan dapat terus menikmati aktiviti lasak sedemikian.

Begitu juga dengan aktiviti sukan seperti bola sepak. Individu yang meminati bola sepak sudah tentu ingin mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk bermain. Jika boleh, mereka juga ingin menjadi pemain bola sepak terkenal di dalam negara mahupun di persada antarabangsa. Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Messi dan Kaka adalah antara nama-nama utama bola sepak yang dikagumi oleh golongan pemain bola sepak, baik kanak-kanak mahupun remaja. Pemain Malaysia seperti Safi Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan beberapa pemain kebangsaan lain tentulah menjadi idola pelajar sekolah juga.

Minat dan keseronokan bermain bola sepak bersama rakan-rakan mahupun bersaing menentang pasukan bola sepak sekolah lain amat diidam-idamkan oleh pemain bola sepak sekolah. Sesiapa yang ingin terus bermain bola sepak sejak kecil hinggalah ke umur menjangkau dewasa akan berazam menjauhi dadah. Malahan jika bola sepak itu menjadi karier atau pekerjaan utama individu tersebut, seharusnyalah ia mengamalkan kehidupan yang sihat. Pemain bola sepak profesional yang mengamalkan gaya hidup sihat akan menjadi contoh tauladan yang baik kepada generasi baru bola sepak negara.

Tindakan mengetahui dan menjauhi dadah adalah sangat penting kepada kita semua,baik guru mahupun pelajar. Oleh itu, pesan kami, jauhi rokok dan jauhi dadah. Majulah sekolah dalam akademik dan sukan tanpa dadah.

—-Tulisan ringkas oleh Cikgu Rithuwan Nasir

Categories: artikel Tags: ,

Islamic Clock

Categories: Uncategorized

July 2, 2010 1 comment

Replika 1 Malaysia Membanteras Dadah di SMK Putatan telah siap dibina pada 28 May 2010 hasil gotong royong yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Kerja PPDa SMK Putatan.

Categories: aktiviti